Sekadar Renungan~nasib bayi malang

story told by MummyAya

Kisah ini aku baca dr arkib akhbar UTUSAN.Sedih yg teramat mengenangkan masa depan bayi ini yg seperti sudah benar2 gelap..Bayangkan la,lumpuh,kaki dipotong,mata dijahit..Ya Allah,semoga dia sentiasa dilindungiMu.

Sayang anakku Akmal Haris

Oleh Siti Zaleha Jorimai


TERLANTAR... Beginilah keadaan Akmal Haris yang hanya mampu terbaring
dengan mata terpejam rapat setelah dijahit bagi mengelak jangkitan kuman.
------------------------------------------------------------------------

BERAPA ramai ibu yang pernah menempuh pengalaman menyambut ulang tahun
kelahiran anak dengan menyorongnya masuk ke bilik bedah.

Ketika anak tersebut sepatutnya girang meniup lilin dan memotong kek
hari lahir sambil dikelilingi rakan-rakan sebaya, tubuhnya terlantar
tidak bermaya di atas katil ditusuk jarum suntikan dan pisau pembedahan.

Pilu mendengarnya, tapi jauh lebih memilukan bagi yang pernah
melaluinya. Bahkan, tiada kata-kata yang mampu mengungkap perasaan
seorang ibu menempuhi pengalaman sebegitu.

Bagi ibu muda, Rozarina Bukari, 35, ia umpama mimpi ngeri yang akan
menghantui kehidupannya sampai bila-bila.

Segalanya bermula apabila anak keempatnya, Akmal Haris Shamsul Anwar,
satu tahun enam bulan, mengalami musibah atas kecuaian pihak yang diberi
tanggungjawab melindungi dan menjaganya.

Setiap kali bercerita mengenai peristiwa malang itu, air mata Rozarina
pasti deras mengalir.

Menceritakan semula tarikh hitam 7 September 2005, Rozarina masih
mengingati satu demi satu detik cemas yang terpaksa dilalui.

Katanya, petang itu dia menerima panggilan daripada pengasuh dari pusat
jagaan kanak-kanak (taska) tempat Akmal ditinggalkan pada pagi tersebut.

Si pemanggil beberapa kali meminta dia datang ke taska, tetapi peliknya
enggan memberitahu sebabnya walaupun selepas didesak berulang kali.

"Hati saya sudah mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena berlaku.
Bergegas saya ke sana dan setiba di sana saya lihat seorang pengasuh
sedang mundar-mandir mendukung Akmal.

"Mulanya pengasuh berkenaan enggan menyerahkan Akmal sehinggalah saya
menjerit supaya menyerahkan anak saya. Ketika dalam pangkuan, saya lihat
keadaan Akmal sudah lembik tidak bermaya dan setelah didesak baru mereka
memberitahu anak saya jatuh buai.

"Saat itu juga saya bawa dia ke klinik berhampiran dan doktor
memberitahu keadaan Akmal serius perlu dihantar ke hospital. Doktor juga
memberitahu anak saya sudah diserang sawan sekurang-kurang 40 minit
sebelum tiba di klinik.

"Kemudian baru saya tahu, Akmal rupanya diserang sawan sebaik jatuh dari
buai di mana tubuhnya jadi biru, muntah dan mulut berbuih. Malangnya,
pengasuh taska mengambil masa lama untuk menghubungi saya,'' katanya
ketika ditemui di kediamannya di Taman Desa Mewah, Semenyih, Selangor.

Menurut Rozarina, saksi kejadian juga memberitahunya pengasuh taska
membuai Akmal terlalu kuat dan tali nylon yang dijadikan tali buai putus
menyebabkan tubuh kecil itu melambung ke dinding sebelum jatuh ke lantai.

Sambung ibu muda itu, ketika dihantar ke hospital keadaan Akmal begitu
menyedihkan, kedua-dua mata hitamnya sudah tertarik ke tepi dan hanya
mampu mengerang apabila dipanggil namanya.

"Ujian x-ray menunjukkan kepala Akmal retak dan berlaku pendarahan. Tapi
yang lebih mengejutkan terdapat juga kesan darah beku yang sudah lama.

"Doktor mengandaikan Akmal sebelum ini sama ada jatuh atau digoncang
dengan kuat berkali-kali. Kata-kata doktor amat mengejutkan saya kerana
pihak taska tidak pernah memberitahu apa-apa tentang perkara itu.''

Buat pertama kali malam itu, Akmal memasuki bilik bedah dan kepalanya
ditebuk untuk mengeluarkan darah beku.

Tiga jam berada di dalam bilik bedah, Akmal dibawa keluar dengan keadaan
tubuh yang berselirat dengan wayar, langsung ditempatkan di unit rawatan
rapi (ICU).

"Sukar sungguh untuk saya menerima kenyataan. Bayi yang pagi tadi saya
tinggalkan dalam keadaan sihat dan riang, kini terlantar tidak bermaya.
Hanya Tuhan saja yang tahu sayu dan gundah-gulananya hati seorang ibu
menyaksikan keadaan anak yang sedemikian rupa,'' katanya menyambung cerita.

Trauma yang dilalui Rozarina dan suami, Shamsul Anuar Saidin, 35,
rupanya jauh lagi dari titik noktah kerana keadaan Akmal tidak berubah,
bahkan bertambah teruk berikutan tekanan otak sebelah kanannya yang
sangat kuat.

"Doktor meminta kebenaran untuk membuang tempurung kepala sebelah kanan
bagi mengurangkan tekanan. Katanya, kepala Akmal ketika itu umpama air
yang sedang 'menggelegak' yang bila-bila masa boleh 'meledak' jika
penutup cereknya tidak dibuka.

"Doktor memberi dua kemungkinan, jika tidak dibedah Akmal mungkin tidak
dapat diselamatkan dan jika pembedahan dilakukan anak saya mungkin lumpuh.

"Bayangkan apa pilihan yang saya ada ketika itu. Saya tidak mampu
memberi jawapan kerana terlalu tertekan, tetapi pada hari ketiga saya
reda membenarkan pembedahan dijalankan kalau itulah yang dapat
mengurangkan penderitaan Akmal,'' katanya sambil menyeka air mata yang
deras mengalir.

Selepas pembedahan, Akmal dimasukkan semula ke ICU dan keadaannya
stabil, tetapi hujung jahitan pada tempurung kepalanya yang dibuang pula
menghadapi masalah tidak mahu bercantum.

Doktor terpaksa membuka dan menjahitnya semula bahagian tersebut
sebanyak tujuh kali tanpa menggunakan ubat bius kerana tubuh Akmal tidak
boleh lagi menerima suntikan tersebut.

"Bayangkanlah kesakitan yang ditanggung, sedangkan kita yang dewasa luka
sedikit pun sudah mengadu sakit, inikan lagi dijahit 'hidup-hidup'.
Sampai sekarang masih terdengar-denger rengekan Akmal ketika jarum
jahitan menusuk kulitnya."

Mungkin disebabkan kesakitan itu, pada hari ketujuh suhu badannya
tiba-tiba naik hingga mencecah 40 darjah celsius. Seluruh tubuhnya
menggeletar dan sentiasa mengerang seolah-olah menahan sakit yang amat
sangat.

Doktor kemudian memberitahu, anak kecil itu perlu dibedah sekali lagi
untuk membuang cecair yang terlalu banyak pada kepalanya yang saiznya
semakin membesar.

"Ketika doktor memberitahu Akmal perlu dibedah sekali lagi, hati saya
sangat berdebar dan naluri keibuan saya seolah memberitahu saya mungkin
tidak akan bertemu lagi dengan anak cukup istimewa ini.

"Sebelum dibawa masuk bilik pembedahan saya cium wajah Akmal
sepuas-puasnya. Saya bisikan pada telinganya yang saya sayangkannya dan
halalkan susu yang dia minum.

"Saya lepaskan dia dengan hati yang berat tapi saya reda dengan segala
kemungkinan yang akan berlaku,'' katanya.

Keluar dari bilik pembedahan, Akmal koma dan doktor terpaksa menebuk
leher untuk memudahkan sistem pernafasannya. Keadaannya begitu tenat dan
doktor sendiri memberi tempoh tiga hari untuk hidup kerana tekanan dalam
kepalanya terlalu kuat.

Namun, memang benarlah Akmal anak yang istimewa, semangat untuk hidup
begitu kuat dan dia terus bertahan biarpun tempoh ramalan doktor berlalu.

Rozarina tetap bersyukur kerana Akmal terus berada di sisinya walaupun
dalam keadaan koma dengan matanya terbuka.

"Seperti yang saya kata tadi, Akmal memang anak yang istimewa. Dalam
keadaan seperti itu dia masih bertahan, malah dipindahkan ke wad biasa.

"Kebetulan waktu itu sudah masuk bulan Ramadan. Sebulan saya berpuasa
dan berhari raya di hospital. Sempat juga saya beli dan pakaiankan Akmal
baju raya," katanya pilu.

Begitupun, keadaan akmal amat daif, badannya melengkung dan kakinya
berlipat, sesekali air kencingnya mengandungi nanah.

Rasa lega Rozarina dan suami juga tidak bertahan lama apabila masalah
lain pula muncul. Disebabkan pengaliran oksigen yang tidak lancar, kaki
Akmal mengalami gengeran dan doktor mencadangkan kaki tersebut dipotong.

"Ia satu lagi pukulan yang maha hebat. Saya tolak saranan doktor kerana
pada masa itu saya fikir kalaulah Akmal mahu 'meninggalkan' saya biarlah
dalam keadaan anggotanya sempurna tidak ada cacat cela.

"Namun, satu hari saya ternampak daging kakinya yang gengeran luruh satu
demi satu sehingga menampakkan tulang.

"Kerana terlalu terkejut saya jatuh terduduk. Saat itu juga saya izinkan
doktor memotong kakinya jika itu jalan terbaik.

"Saya dapat rasakan dia cukup menderita. Namun, melihat keadaannya, saya
insaf selagi Tuhan masih belum menjemput dia sebagai ibu saya perlu
bertanggungjawab mencari penawar yang terbaik untuknya.''

Tiga bulan 'berumah' di hospital, Akmal akhirnya dibenarkan pulang ke
rumah biarpun dalam keadaan yang begitu daif, hanya terlantar dan tidak
boleh bergerak.

Usaha menyembuhkan Akmal tetap diteruskan dengan mencari rawatan
alternatif seperti berurut dan fisioterapi.

"Alhamdulillah ada perubahan, badan yang melengkung kembali lurus,
manakala kaki dan tangan yang berlipat sudah tegak semula,'' katanya
yang kemudiannya menyambung tugasnya sebagai guru sekolah menengah
selepas 'bercuti' panjang.

Begitupun kata Rozarina, kesengsaraan Akmal belum berakhir, giliran
matanya pula menerima kesan daripada keadaannya yang koma.

Disebabkan keadaan mata Akmal sentiasa terbuka, tidak berkedip dan tiada
air mata, mata hitamnya menipis dan berkemungkinan bocor.

"Doktor memberi pilihan sama ada untuk membuang biji mata yang rosak
atau menutup terus dengan menjahit kelopak matanya,'' katanya.

Tidak tahu ujian apa lagi yang harus dilalui anak kecil ini, Rozarina
hanya mampu berserah melihat kelopak mata anaknya dijahit rapat untuk
selama-lamanya.

Dengan cara itu menurut doktor, biji mata akan kecut dan diliputi daging
sekali gus mengelakkan daripada jangkitan virus jika ia dibiarkan terbuka.

Sejak kejadian malang pada usianya baru tiga bulan dan kini mencecah
setahun enam bulan, Akmal sudah melalui sembilan pembedahan besar, tiga
di kepala, tiga bagi membuang kakinya yang gengeran dan tiga pembedahan
mata.

Terkilan

Biarpun reda dengan keadaan Akmal sekarang, jauh di sudut hati ibu
kepada empat anak ini, masih terbuku rasa terkilan yang mendalam.

Keadilan yang dicari tidak kunjung tiba apabila pihak yang menyebabkan
Akmal berkeadaan begitu masih bebas daripada sebarang tindakan.

"Bukan saja tidak dikenakan apa-apa hukuman, malah pihak berkenaan kini
mengembangkan perniagaan dengan membuka sekurang-kurangnya dua lagi
pusat jagaan serupa.

"Saya bukan berdendam, saya cuma mahu keadilan bagi Akmal dan supaya
kejadian yang menimpa anak saya tidak berulang pada kanak-kanak lain.
Siasatan oleh pihak polis terhadap kes ini sampai sekarang pun tak
dengar khabar beritanya.

"Kalau kes ini kecuaian saya boleh terima lagi, tetapi ini kes
penderaan. Doktor yang merawat Akmal pun mengakuinya. Saya anggap ia
sama seperti kes merompak dan membunuh. Mereka sudah 'bunuh kehidupan'
Akmal, merompak hak Akmal untuk berjalan, melihat dan membesar seperti
kanak-kanak yang lain,'' katanya dengan air mata berlinangan semula.

Walaupun terlantar, tumbesaran Akmal seperti kanak-kanak normal lain dan
kini beratnya sudah mencecah 11 kilogram. Semakin meningkat usia, kos
penjagaannya juga semakin tinggi, lebih-lebih lagi Akmal hanya
bergantung pada susu khas berharga RM21 satu tin kecil dan dalam sebulan
dia memerlukan sekurang-kurangnya 10 tin susu.

Penjagaan terhadapnya juga perlu dilakukan berhati-hati memandangkan
sebahagian besar tempurung kepalanya sudah dibuang dan hanya diliputi
kulit serta rambut hitam lebat.

Setakat ini menurutnya, hanya pihak Yayasan Kebajikan Negara yang
mengambil peduli dengan memberi bantuan lampin pakai buang dan susu
selama setahun.

"Pihak taska sudah tidak ambil tahu, malah sejak insiden itu mereka
hanya datang dua kali menjenguk Akmal di hospital dan menghulurkan duit
sebanyak RM2,000,'' katanya.

Selain dari segi kewangan, kejadian yang menimpa Akmal memberi kesan
kepada seluruh keluarga termasuk tiga lagi anak Rozarina, Farhana
Shamsul Anwar, 8, Adam Illman, 6 dan Aizad Haqimi, 3.

Menurutnya, sesekali mereka merungut tidak dapat lagi bercuti ke
tempat-tempat yang mereka sukai.

"Bukan tidak mahu membawa mereka bercuti, tetapi keadaan Akmal
menyukarkan untuk kami bergerak ke mana-mana. Begitupun, saya berusaha
juga sedaya upaya memenuhi permintaan mereka,'' katanya.

Sebagai ibu, tekanan yang dirasai oleh Rozarina juga bukan kepalang
hebatnya, lebih-lebih lagi apabila datang rasa rindu yang tidak tertahan
pada anak kecil itu.

"Pada hari lahir saya baru-baru ini, dek kerana terlalu rindu dengan
pandangan mata Akmal, saya bisikan pada telinganya, 'bukalah mata Akmal
dan ibu ingin sangat melihat Akmal berjalan walaupun dalam mimpi'.

"Permintaan saya dimakbulkan Tuhan, sayangnya mimpi itu bukan berlaku
pada saya sebaliknya pada pengasuh yang menjaga Akmal sekarang. Dia
bermimpi melihat Akmal berlari dan tersenyum,'' katanya sambil mengesat
air mata yang tumpah untuk sekian kali.

*Aku pasti x mampu melalui semua ini........

0 buzzss on "Sekadar Renungan~nasib bayi malang"

Post a Comment